• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Untung Hotel Paya Bunga Meningkat Lebih 1,000 Peratus

KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Hotel Paya Bunga (PB) milik kerajaan negeri yang menghadapi pelbagai masalah di era pentadbiran terdahulu kini mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai dan pelarasan sebanyak 1,130 peratus untuk tahun berakhir 2021. 

Pengerusi Lembaga Pengarah Hotel PB, Ahmad Shah Mohamed berkata, keuntungan tersebut meningkat daripada RM260,000 pada 2020 kepada RM3.2 juta bagi tahun lepas.

“Kedudukan kewangan kita juga telah menaik sebanyak 62 peratus daripada RM6.9 juta pada tahun 2020 kepada RM11.2 juta pada 2021.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan hasil kerjasama semua pihak termasuk kakitangan selepas mengalami tahun suram sejak dibina dulu,” katanya dalam sidang media di Hotel PB baru-baru ini.

Ahmad Shah berkata, peningkatan mendadak yang dicatatkan pada tahun lepas adalah hasil promosi berterusan yang dilakukan pengurusan hotel setelah kerajaan mula melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang memberi ruang lebih banyak penganjuran acara berskala besar serta kedatangan pelancong sebaik sahaja sempadan negeri dibuka.

Menurut beliau, kedudukan kewangan Hotel PB terbukti kukuh apabila tidak ada pemberhentian atau pemecatan kakitangan ketika pandemik melanda di saat syarikat atau premis lain berdepan masalah tersebut.

“Bahkan mereka kekal dibayar gaji sepertimana yang sepatutnya, kenaikan gaji tahunan pun kita laksanakan di samping tiada pengurangan gaji. 

“Tidak cukup dengan itu bonus dua bulan gaji diberi pada tahun 2020 dan 2021, dengan prestasi yang cemerlang kali ini, pihak hotel turut memberi bonus Aidilfitri sebanyak sebulan gaji,” ujarnya.

Lebih membanggakan Ahmad Shah berkata, konsep patuh syariah yang diperkenalkan menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung sekali gus melayakkan mereka menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC).

“Pengiktirafan itu bagi tahun 2022 sehingga 2023, ia bukan pengiktirafan dalaman (Malaysia) tetapi daripada pihak antarabangsa.

“Berdasarkan maklumat, hanya tiga hotel di Malaysia meneriman anugerah itu, Hotel PB salah satunya,” tambah beliau.

Untuk rekod, pada 2019 sebaik memulakan operasi, Hotel PB berjaya mengurangkan kerugian kepada RM400 ribu daripada RM1.8 juta yang terkumpul sejak 2015 walaupun hotel masih belum dibuka.

 


Tag: