Berita :
Hulu Besut Berselawat Disambut Meriah
Hulu Besut Berselawat Disambut Meriah
Norekwan Mamat
1 hari yang lepas
46

BESUT,  12 April — Program 'Hulu Besut Berselawat' yang berlangsung di Padang Astaka, Kampung Pasir Akar menjadi mercu tanda pembukaan Karnival Terengganu Sejahtera peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang disambut meriah oleh ribuan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian karnival selama tiga hari bertemakan "Indahnya Hidup Bersyariat" yang bertujuan memperkukuh pegangan agama dan perpaduan ummah.


"Alhamdulillah, di malam yang mulia ini kita dapat berhimpun dalam satu majlis bagi menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Kehadiran guru-guru pondok dan ulama terkemuka pada malam ini di bumi Hulu Besut membawa keberkatan buat kita semua," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Cinta Rasul / Maulid Akhbar tersebut.

Antara tokoh agama yang hadir memeriahkan majlis tersebut termasuklah Ketua Ulama Negeri Terengganu, Dr. Wan Mat Sulaiman, Syeikh Mukhtar Jamil, dan barisan pimpinan madrasah serta pondok dari seluruh negeri.

Mohd Husaimi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa karnival ini turut melibatkan aktiviti kerohanian di peringkat akar umbi termasuk kuliah serentak di enam buah masjid di sekitar Hulu Besut yang telah bermula sejak waktu Maghrib.

Mengulas mengenai pengisian hari seterusnya, beliau menyeru orang ramai untuk menyertai program 'Subuh Seperti Jumaat' bagi membudayakan solat berjemaah di masjid.

"Kita juga akan mengadakan aktiviti 'Jalan Kaki' sebagai simbolik sokongan dan solidariti kita yang tidak berbelah bahagi kepada saudara kita di Palestin pada pagi esok," tambah beliau.

Karnival yang berlangsung sehingga 11 April ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk Bicara Wanita, cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti motosikal dan barangan elektrik, serta reruai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.

Program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut serta pelbagai agensi kerajaan negeri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan