Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Hulu United dinobatkan sebagai juara Terengganu Football League (TFL) Piala FA 2026 selepas menewaskan Dabara FC 1-0 dalam aksi final yang berlangsung penuh dramatik di Padang Bola Sepak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana cukup kompetitif itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mempamerkan aksi bertenaga, sekali gus menghidangkan tontonan berkualiti kepada para penyokong sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan itu membuktikan mutu bola sepak akar umbi di negeri ini terus berkembang dengan positif hasil komitmen semua pihak.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Hulu United atas kejayaan muncul juara, selain memberikan penghargaan kepada Dabara FC yang mempamerkan semangat juang tinggi dan persembahan cemerlang sepanjang kejohanan sehingga berjaya melangkah ke pentas akhir.
"Dalam bola sepak, menang dan kalah adalah lumrah. Namun, nilai sebenar sukan ini terletak pada semangat kesukanan, disiplin, komitmen serta kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap pemain di atas padang.
"Saya mengucapkan syabas kepada kedua-dua pasukan kerana telah mempersembahkan aksi yang berkualiti dan membanggakan. Inilah semangat yang perlu terus dipupuk demi memartabatkan bola sepak Terengganu," katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir TFL Piala FA 2026, di sini, semalam.
Menurut beliau, prestasi yang ditampilkan kedua-dua pasukan menjadi bukti bahawa pembangunan bola sepak di Terengganu terus berada pada landasan yang tepat dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat.
Katanya, kejohanan seperti TFL bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah berperanan memperkukuh ekosistem bola sepak negeri dengan menyediakan ruang kepada pemain tempatan untuk menimba pengalaman dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
"Semoga komitmen dan semangat juang yang dipamerkan oleh para pemain hari ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus aktif dalam sukan bola sepak, sekali gus melahirkan pelapis yang mampu mengharumkan nama Terengganu di pentas lebih tinggi," ujarnya.