• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Ibu Bapa Contoh Terbaik Anak-Anak

Ustaz Ridzuan Hashim ketika berucap merasmikan Program Tautan Kasih Intergenerasi @ Komuniti di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading, semalam (13 Oktober).
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU - Ibu bapa merupakan contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana ianya adalah proses pembelajaran secara langsung yang boleh diperolehi di rumah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, selain ibu bapa, pihak guru dan kerajaan juga perlu memainkan peranan bersepadu dalam mencorakkan anak bangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tautan Kasih Intergenerasi @ Komuniti yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Buluh Gading dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading, semalam (13 Oktober).

Menurutnya lagi, program seperti ini sangat berguna kerana dapat mendekatkan jabatan itu dengan masyarakat.

Beliau juga mengalu-alukan pelbagai jabatan lain untuk menganjurkan pelbagai program yang bermanfaat kepada rakyat DUN Buluh Gading.


“Pelbagai program yang dibuat adalah merupakan langkah positif dalam menzahirkan matlamat Kerajaan Negeri Terengganu supaya maju, berkat dan sejahtera.

“Saya berharap agar segala perkongsian dalam program ini dapat memupuk kesedaran dan meningkatkan kefahaman kita semua dalam memahami tugas dan tanggungjawab mendidik anak-anak.

“Ianya sangat penting kerana anak-anak kita adalah modal insan untuk membina generasi  yang berguna pada masa akan datang," ujar beliau lagi.

Katanya, peserta diharap tidak mensia-siakan ilmu dan pengalaman yang diperolehi untuk dihayati di peringkat keluarga masing-masing dan seterusnya menjadi contoh kepada keluarga lain dalam masyarakat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Nor Azman Abdul Manaf, Penghulu Mukim Manir, Mazlan Ismail dan Ketua Penyelia i-MiTS Kawasan Kuala Nerus, Jusoh Ngah.

Tag: