Berita :
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Bukti Kesatuan Umat Terus Utuh
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Bukti Kesatuan Umat Terus Utuh
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
91

KUALA TERENGGANU, 5 April -  Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung selama tiga hari berjaya menghimpunkan pelbagai tokoh, ilmuwan dan masyarakat dalam satu wadah besar demi memperkukuh perpaduan ummah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, himpunan itu bukan sekadar sebuah program biasa, sebaliknya menjadi medan penting yang menyatukan hati, fikrah dan kesedaran bersama dalam kalangan umat Islam.

Menurut beliau, sepanjang penganjuran program tersebut, pelbagai isu besar berjaya diketengahkan termasuk soal pengurusan perbezaan pandangan, kepimpinan umat di rantau ini, pengukuhan ekonomi sendiri serta pemantapan jati diri ummah.

“Alhamdulillah, selesai sudah satu himpunan yang bukan sekadar program tetapi pertemuan hati dan kesatuan fikrah ummah.

“Sepanjang tiga hari ini, kita melihat sendiri bagaimana tokoh, ilmuwan dan masyarakat dari pelbagai latar belakang duduk bersama, berbincang, berkongsi pandangan dan yang paling penting, mencari titik persamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata, dalam suasana dunia hari ini yang semakin mencabar dan kompleks, umat Islam masih mempunyai kekuatan besar sekiranya memilih untuk terus bersatu dan bergerak seiring.

Katanya, kejayaan penganjuran himpunan tersebut membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan ummah masih kukuh serta mampu menjadi asas penting dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

“Terima kasih kepada semua yang hadir, yang menyumbang idea, tenaga dan doa sepanjang program ini berlangsung.

“Semoga segala yang dihimpunkan di sini tidak terhenti di pentas, tetapi dibawa pulang menjadi gerak kerja dalam kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar segala resolusi, perbincangan dan semangat yang terhasil menerusi program itu dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan berterusan demi kepentingan umat pada masa depan.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan