• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ikan Tapah Bersaiz Mega Bukan Petanda Berlaku Bah Besar Pada Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kemunculan beberapa ekor ikan tapah yang bersaiz melebihi 70 kilogram baru-baru ini bukalah satu-satunya petunjuk terhadap banjir besar akan berlaku di Terengganu pada tahun ini.

Ikan berkenaan telah ditangkap oleh penduduk yang menahan pukat di Sekitar Kawasan di Kampung Kuala Belara sebagaimana yang tular di media sosial pada minggu lalu.

Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universtiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Amiruddin Ahmad berkata, perkara berkenaan tidak perlu mendatangkan perasaan panik di kalangan orang awam kerana spesies ikan termasuk jenis berkenaan yang bersaiz besar masih wujud di sungai-sungai utama.

Ujarnya, ia jarang ditemui kerana jumlahnya semakin berkurangan menjadikan ia dianggap perkara luar biasa.

"Di Malaysia, masih belum ada kajian mengenai proses migrasi ikan terutama induk yang bersaiz besar ini ke dataran banjir (foodplain) dan sungai-sungai yang lebih kecil untuk tujuan mengawan dan bertelur.

"Namun dari sudut biologi dan habitat, ikan bersaiz mega kebiasaannya akan mencari dataran banjir atau sungai-sungai yang ditenggelami banjir untuk berterlur," katanya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr Amiruddin berkata setakat ini tiada dapatan sains yang boleh mengaitkan penemuan ikan besar menjadi petanda akan berlakunya banjir besar.

"Setakat ini kita di Malaysia, masih tiada kajian mengenai ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan, pengalaman, ramalan atau firasat yang boleh dikaitkan kebenarannya dengan Sains.

"Namun tidak salah untuk kita semua, sentiasa berwaspada dengan jangkaan besar kerana dalam teknologi dunia yang semakin canggih ini, banyak maklumat berkaitan perubahan cuaca boleh diperoleh agar kita semua selamat dari perkara tidak diingini.

"Cuma janganlah terlalu taksub dengan kiasan-kiasan tular seperti ini," ujarnya lagi.