Berita :
Harga Diesel Menggila, Terengganu Rangka Bantuan Segera Untuk Petani
Harga Diesel Menggila, Terengganu Rangka Bantuan Segera Untuk Petani
Ahmad Zaeem Zainudin
11 jam yang lepas
436

KUALA TERENGGANU, 9 April - Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyusun beberapa langkah segera bagi mengurangkan beban warga tani yang terkesan akibat tekanan kos pengeluaran dalam situasi krisis global semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, antara inisiatif yang sedang dirangka termasuk pemberian moratorium kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri.

"Antaranya ialah pemberian moratorium kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu untuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman dalam suatu tempoh yang akan ditentukan.

"Pemberian bantuan insentif input pertanian juga sedang dalam penyusunan dan tindakan kita," katanya menerusi sebuah hantaran Facebooknya, semalam.

Langkah tersebut dilihat sebagai respons segera terhadap kebimbangan yang sebelum ini dibangkitkan beliau berhubung kenaikan kos diesel yang terus menekan golongan petani.

Menurutnya, peningkatan harga bahan api itu memberi kesan langsung kepada kos operasi utama seperti membajak, menuai dan pengangkutan hasil, sekali gus meningkatkan beban keseluruhan pengeluaran.

Sebelum ini, beliau mendedahkan bahawa upah membajak telah mencecah sekitar RM170 seekar bagi jentera berantai dan RM160 bagi jentera tayar, manakala upah jentuai pula sekitar RM13 seguni.

Dr. Azman juga menjangkakan kenaikan kos yang lebih tinggi pada musim menuai akan datang susulan daripada lonjakan harga diesel.

Tambahnya, petani, khususnya golongan pesawah terus berdepan tekanan apabila harga padi kekal tidak berubah dan kadar potongan di kilang masih tinggi.

"Dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung petani sekarang, harga padi pula tak naik dan ditambah dengan kadar potongan yang tinggi di kilang padi, maka yang tinggal untuk petani hanyalah air mata," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa situasi tersebut boleh membawa implikasi lebih besar terhadap jaminan bekalan makanan negara sekiranya petani mula hilang daya tahan untuk terus mengusahakan tanaman.

Dalam perkembangan terkini, harga diesel di Semenanjung Malaysia yang merupakan bahan api utama kepada rantaian logistik telah melonjak kepada RM 6.72 seliter pada 8 April 2026, mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara.


Ketupat

Artikel Berkaitan