Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Catat 6.5 Juta Ketibaan Pelancong, Jana Pendapatan Hingga RM1.5 Bilion
Terengganu Catat 6.5 Juta Ketibaan Pelancong, Jana Pendapatan Hingga RM1.5 Bilion
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
11 jam yang lepas
205

KEMAMAN, 9 November – Terengganu merekodkan 6.5 juta ketibaan pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan anggaran pendapatan antara RM1.4 bilion hingga RM1.5 bilion, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, kerjasama antara kerajaan, persatuan industri, sektor swasta dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi memastikan perkembangan sektor itu memberi manfaat ekonomi kepada rakyat.

Menurut beliau, penganjuran MATTA Fair Terengganu buat kali keempat merupakan antara platform penting untuk menghubungkan pemain industri dengan masyarakat, selain membuka peluang perniagaan kepada pengusaha pelancongan tempatan.

“MATTA Fair bukan sekadar ekspo pelancongan, malah merupakan platform penting untuk menghubungkan pemain industri dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MATTA Fair Terengganu 2026 di Dewan Seri Mayang, Mayang Mall, baru-baru ini.

Karnival pelancongan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November itu menghimpunkan pemain industri bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan, selain menawarkan pelbagai pilihan pakej percutian kepada pengunjung.

Tambah beliau, penganjuran itu turut membantu memperluas promosi destinasi pelancongan negeri dan merancakkan ekonomi tempatan.

Dalam pada itu, usaha mempromosikan Terengganu akan diteruskan menerusi pelbagai platform dan inisiatif termasuk persediaan ke arah TRULY TERENGGANU 2027 bagi memperluas tarikan pelancongan serta menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Beliau berharap MATTA Fair Terengganu 2026 dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan, memperkukuh jaringan kerjasama industri serta meningkatkan keterlihatan destinasi pelancongan Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan