• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Isu 3R : Tidak Adil Hanya PN Dikenakan Tindakan

SETIU, 21 Julai - Tidak adil jika undang-undang berkait isu 3R iaitu bangsa, agama, dan raja hanya dikenakan terhadap Perikatan Nasional (PN) sedangkan jelas ada pemimpin parti pihak kerajaan melanggar tiga perkara itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini maestro DAP ada membuat perjanjian antara semua parti politik supaya isu 3R tidak dibangkitkan dalam Pilihan Raya.

"Saya kata apa jua undang-undang yang ada haruslah sama rata bukan (dikenakan) kepada pihak pembangkang sahaja.

"Kalau tidak ia menyebabkan ketidakadilan berlaku, kalau kita hendak berlawan dalam pilihan raya tentukan perlu berlawan dalam padang yang sama rata.

"Tapi apabila merasa tertekan maka dia (PHBN) mengenakan syarat untuk menekan pihak lawan, tidak bolehlah macam tu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang Jaya Sungai Tong, di sini semalam.

Dalam pada itu ketika diajukan soalan adakah pendakwaan yang berlaku ke atas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Sanusi Mohd Nor merupakan usaha pihak tertentu membunuh karakternya, Ahmad Samsuri berkata apa yang tular dalam di media sosial sudah menjawab persoalan itu.

"Saya tak nak komen, tetapi para anggota masyarakat di luar sana terutamanya netizen boleh mendengar sendiri apa yang disebut oleh salah seorang menteri di peringkat pusat yang menyebut mereka telah ada perancang untuk buat itu dan ini sehingga 'viral' dalam TikTok.

"Jadi apa sebenarnya ini? kita sedang berhadapan Pilihan Raya atau sebaliknya, kalau hadap Pilihan Raya kena buat cara hadap Pilihan Raya," katanya.

Menjawab sama ada Sanusi masih boleh terlibat dengan kempen PRN, ujarnya tidak ada sebarang halangan untuk terus berkempen sebagaimana calon-calon yang lain mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Sentiasa ada perbincangan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi di kalangan peimpinan dan penceramah, memang kita sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa," ujarnya.