BESUT, 24 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa kemasukan pelabur luar dalam sektor pertanian bukanlah satu tindakan mengetepikan hak rakyat tempatan, sebaliknya ia merupakan strategi serampang dua mata untuk memacu ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tanggapan kononnya kerajaan mengutamakan pihak luar berbanding isu pemilikan tanah rakyat adalah tidak tepat.
Menurut beliau, setiap negeri memerlukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi membawa masuk modal, teknologi baharu, serta kepakaran yang mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada satu sektor sahaja. Dalam masa kita menyantuni pelbagai segmen rakyat, pelaburan luar juga amat dialu-alukan bagi memastikan pembangunan negeri berjalan mampan.
“Jangan campur aduk isu pelaburan dengan fokus kita membantu usahawan tempatan. Kedua-dua ini tidak boleh diabaikan dan mesti berjalan serentak,” katanya ketika mengulas persoalan yang dibangkitkan dalam Dialog Bersama Warga Hulu Besut, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai keberkesanan pelaburan asing, Dr. Azman memetik kerjasama dengan syarikat global, McCormick Global, sebagai contoh kejayaan di Lembah Bidong.
Projek penanaman lada hitam komersial seluas 600 hektar itu bukan sahaja mematuhi syarat Memorandum Persefahaman (MoU), malah telah melampaui sasaran pengambilan tenaga kerja tempatan.
“Dalam MoU, kita tetapkan sekurang-kurangnya 70 peratus pekerja mestilah rakyat Terengganu. Namun setakat ini, hampir 90 peratus pekerja yang diambil adalah anak jati negeri ini.
“Mereka (pelabur) juga patuh kepada syarat pembinaan kilang di sini, sekali gus memastikan berlakunya pemindahan teknologi dan penambahan peluang kerjaya kepada penduduk setempat,” jelasnya.
Dr. Azman turut menyangkal dakwaan bahawa rakyat disisihkan. Beliau menjelaskan kerajaan negeri sentiasa menyediakan ekosistem sokongan melalui Skim Pinjaman Modal Tani dan pelbagai bantuan teknikal bagi membantu petani kecil.
Tegasnya, langkah membawa masuk pelabur besar adalah untuk melengkapkan rantaian industri pertanian negeri, bukannya untuk bersaing dengan rakyat.
CC Foto : Norekwan
