• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

J3K Ambil Tahu, Salur Masalah Penduduk Setempat

Ahmad Nizam menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada wakil J3K DUN Ajil sempena majlis Penyampaian Watikah Perlantikan J3K DUN Ajil, di Dewan Sivik Pekan Ajil.


Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) merupakan mata dan telinga kerajaan negeri dengan mengambil tahu permasalahan penduduk setempat untuk disampaikan kepada wakil rakyat atau pihak yang berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, J3K mempunyai bidang kuasa tersendiri dalam membantu kerajaan.

Katanya, mereka bukan sahaja menyampaikan maklumat kerajaan malah membantu dalam kepelbagaian yang membawa kepada kemakmuran kemajuan dan keselamatan.

"Maka, segala aduan dan pemasalahan yang dihadapi rakyat perlulah disampaikan kepada kerajaan negeri untuk dibantu dan diselesaikan.

"Jika seorang pengerusi J3K dan jawatankuasanya dapat melaksanakan tugas dengan baik sudah pasti mereka dapat membantu rakyat, sekali gus mereka tentu disenangi dan dihormati.

"Baik J3K, baiklah kerajaan negeri, buruk J3K, buruklah kerajaan negeri yang memerintah negeri ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan J3K Dun Ajil di Dewan Sivik Pekan Ajil, hari ini.

Seramai 46 pengerusi J3K yang baharu bagi DUN Ajil menerima watikah pelantikan mereka yang turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa masing-masing.

Maliaman turut mengingatkan bahawa J3K yang diberi kepercayaan pada kali ini bercakap bukan lagi sebagai pembangkang tetapi wakil kepada kerajaan yang ada sekarang dan J3K berperanan penting bagi menampung kekurangan dan kelemahan yang ada.

"Oleh sebab itu, semua pihak perlu perbetulkan hati ke arah perjuangan gerak kerja yang ikhlas demi Allah Taala untuk memajukan kampung dan realisasikan hasrat kerajaan baru yang ada kerana apa yang kita dapat hari ini adalah hasil kepercayaan rakyat yang memilih.

"Fahami lah kerajaan dan jika timbul berita yang tak jelas terutama dalam media sosial, jangan cepat melatah, jangan ulas sembarangan tetapi cari penyelesaian terbaik kerana kita tidak mahu jadi kerajaan yangg tidak adil..mahu jadi adil dan sebolehnya berlaku adil,"katanya.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah (Bahagian Pembangunan Masyarakat), Ahmad Nizam Abd Karim memberi taklimat hampir sejam sebagai motivasi kepada pengerusi J3K agar mereka lebih memahami tugas dan peranan mereka yang sebenar.


Tag: