• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jabatan Kesihatan Kutip Denda RM235,000 Kerana Kesalahan Merokok


Dr Muhammad mengagihkan risalah berkaitan larangan merokok di Taman Awam, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu . Foto oleh Zulkifli Putra

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mencatatkan nilaian kutipan hampir RM235,000 terhadap 2,116 kompaun yang dikenakan terhadap individu kerana didapati merokok di kawasan larangan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Manakala 518 kes dihadapkan ke mahkamah kerana ingkar membayar kompaun membabitkan nilaian keseluruhan RM17,000.

Jumlah itu berdasarkan 4,002 notis kesalahan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dalam tempoh sama.


Manakala, selebihnya iaitu membabitkan jumlah 1,368 kompaun masih dalam proses tindakan selanjutnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, bagi bulan pertama tahun ini, sebanyak 356 notis kesalahan dikeluarkan berbanding  440 notis dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, rekod itu menunjukkan pengurangan pengeluaran notis sebanyak 19.1 peratus. Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana kesalahan menghisap rokok di kawasan larangan di negeri ini.


“Antaranya, kawasan hospital, klinik, lif, tandas awam, lapangan terbang, dalam kenderaan awam, hentian pengangkutan awam, institusi pengajian tinggi dan kompleks membeli-belah.

“Lokasi lain, stadium, tempat kerja berhawa dingin, Taman Negara Negeri Terengganu dan 37 taman awam di negeri ini,”katanya.

Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.



Tag: