• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Jaga Sensitiviti Agama Dan Kaum - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama masyarakat Besut.
BESUT, 16 Mac - Semua pihak dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan saling menjaga sensitiviti agama dan kaum lain di Malaysia.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keamanan yang dinikmati hari ini perlu dijaga dan dipertahankan daripada sebarang anasir jahat yang mula menyerang negara.

Jelasnya, kenyataan provokatif dan bermotif politik pihak tertentu untuk menggugat keharmonian seharusnya diurus dengan sebaiknya.

“Dalam suasana Malaysia ini berbilang bangsa, berbilang agama, sebab itulah semua pihak harus menjaga sensitiviti.

“Tidak ada mana-mana pihak yang boleh menekan pihak yang lain sehingga sampai ke dinding, kerana kita tahu naluri manusia, bila ditekan dia akan bertindak balas,” katanya.

Menyaksikan persembahan silat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Jadual 5A Kepada 170 Peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Mukim Keluang dan Durian Ubi di Taman Awam Pantai Air Tawar, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Ahmad Rizal Mamat.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad, Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor serta Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh.


Ahmad Samsuri turut berkata, sebagai rakyat yang cintakan perpaduan, setiap rakyat wajar membuat sebarang pertimbangan yang adil sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Sebab itulah saya minta kepada pihak yang membuat kenyataan berunsur rasis supaya berfikir banyak kali dalam memberi apa jua pandangan,” katanya.




Tag: