KUALA LUMPUR, 18 November – Keperluan menaik taraf jalan dan jambatan di daerah Besut menjadi fokus penting apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, dengan membangkitkan isu penyelenggaraan prasarana utama dalam perbahasan Belanjawan 2026 (Peringkat Jawatankuasa) bagi Kementerian Kerja Raya hari ini.
Che Mohamad Zulkifly menekankan keperluan segera untuk membaiki dan mengganti reling jambatan rosak di Jalan Seberang Jertih bersempadan Kelantan dengan anggaran RM65,000.
Beliau turut meperincikan tujuh kerja pembaikan expansion joint di laluan Kuala Terengganu – Kota Bharu berjumlah RM315,000.
"'Expansion joint' merupakan komponen penting yang menyerap pergerakan struktur akibat suhu, beban trafik dan getaran, dan kegagalan menyelenggaranya boleh menjejaskan keselamatan serta meningkatkan kos pembaikan jangka panjang, khususnya di laluan utama berkenaan," katanya.
Beliau memaklumkan bahawa JKR Besut telah mengemukakan 15 permohonan kerja berkala pavement, termasuk kerja mill and pave, penggantian bridge panel rosak serta pembaikan guardrail di Kampung Raja.
Selain itu katanya, 15 permohonan kerja berkala bukan pavement turut dikemukakan merangkumi pembaikan longkang rosak atau tersumbat, pemasangan papan tanda baharu serta pengecatan semula garisan jalan yang telah pudar di beberapa laluan utama, termasuk Jalan Seberang Jertih.
Ujar beliau, permohonan terbabit bukan sekadar 'kerja kosmetik' tetapi keperluan mendesak berdasarkan Pavement Condition Analysis yang menunjukkan kerosakan nyata pada permukaan jalan serta ketahanan struktur yang telah tamat tempoh.
"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi menjelang musim monsun timur laut," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan cadangan menaik taraf Laluan FT65 sepanjang 3.5 kilometer untuk fasa pertama, melibatkan turapan baharu, pembinaan sistem saliran, pengukuhan cerun dan jambatan kecil.
Anggaran kos bagi projek tersebut adalah RM12 juta, menjadikan jumlah keseluruhan permohonan naik taraf jalan dan jambatan bagi Besut sebanyak RM25 juta.
Beliau juga menekankan status Jambatan Jertih, yang sudah lama diluluskan tetapi belum dimulakan, dan meminta penjelasan terkini mengenai perkembangan projek itu.