• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jalinan Kerjasama PAS, UMNO Demi Penyatuan Umat Islam



KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjelaskan bahawa gagasan penyatuan ummah adalah jalinan kerjasama antara PAS dengan UMNO bagi menyatukan umat Islam terutama orang Melayu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama yang dijalinkan adalah melibatkan parti-parti politik Melayu termasuk Bersatu.

“Memang kita bekerjasama dengan parti-parti khususnya parti Melayu. Dalam parti Melayu kita dapati orang Melayu berpecah, orang Cina tidak berpecah.

"Orang Cina pakat undi DAP, MCA pun undi DAP, Gerakan pun undi DAP. Kita Melayu ni banyak sangat parti.

“Sebab itu PAS berpendapat perlu menyatukan parti-parti orang Melayu. Parti orang Melayu yang tinggal ialah PAS, UMNO dan Bersatu, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) bukan parti Melayu. Sebab itu kita bekerjasama dengan parti Melayu termasuk Bersatu dalam kerajaan," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah sempena Program Tazkirah Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, kerjasama kali ini bukanlah yang pertama, malah PAS pernah menjalinkan kerjasama dalam pelbagai isu global.

"Ini bukan kali pertama kita kerjasama dah banyak kali. Kita pernah bekerjasama dalam isu Palestin, Bosnia dan Myanmar," katanya.

Abdul Hadi berkata, hubungan rasmi antara dua parti itu tidak meminggirkan golongan bukan Islam.

"Tidak timbul isu rasis dalam kerjasama ini kerana dalam PAS kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). 

"Kita juga telah bertemu dengan pemimpin MIC dan mereka memberikan kerjsama yang sangat baik," katanya.

Katanya, kerjasama itu juga mendapat sambutan yang baik di peringkat akar umbi ahli parti.


Tag: