• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Jambatan Baru Pulau Kekabu Beroperasi , Kurangkan Kesesakan

MARANG, 7 Disember – Jambatan Baharu di Pulau Kekabu yang siap dibina sepenuhnya bakal membawa manfaat buat penduduk dan pengunjung dalam aspek pelancongan dan ekonomi selain mampu mengatasi masalah kesesakan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesesakan di laluan masuk iaitu jambatan lama Pulau Kekabu sebelum ini telah menimbulkan situasi yang kurang selesa bagi pengunjung.

“Pada tanggal 23 April 2019, saya telah mengumumkan berita gembira kepada warga setempat iaitu pembinaan jambatan baharu di Pulau Kekabu ini semasa merasmikan Hentian Bas Marang.

“Disiapkan pada 26 Oktober tahun ini dengan panjang 47.3 meter, projek ini adalah satu lagi usaha pihak kerajaan bagi menyediakan prasarana dalam usaha memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

“Saya percaya Majlis Daerah Marang yang diberi mandat untuk membangunkan Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu ini merangka pelbagai cadangan ke arah memajukan lagi kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menjelaskan, pembinaan bernilai RM1.38 juta itu akan membantu lagi Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu Marang.

“Kawasan ini telah menjadi satu fenomena baharu dan telah menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.

“Aktiviti rekreasi seperti joging, memancing dan sampan menarik pelancong sehingga 3,000 orang pada akhir minggu dan musim perayaan. Kini dua jambatan yang lebih selamat telah diwujudkan.

“Diharapkan agar keindahan ini tidak tercemar jika pengunjung tidak cakna kebersihan, saya menyeru agar kita bersama-sama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta Badan Bukan Kerajaan sama-sama menjaga imej negeri,” katanya lagi.