• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

'Jangan Cetus Huru Hara Rai Kemenangan di Jalan Awam'

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Penyokong dan ahli PAS diingatkan agar tidak mencetuskan sebarang huru hara dan mengadakan perarakan konvoi sama ada malam menjelang hari mengundi atau meraikan kemenangan Perikatan Nasional di negeri ini nanti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Kita telah membuat arahan kepada penyokong-penyokong dan ahli kita supaya tiada apa-apa konvoi kerana dikhuatiri akan menganggu ketenteraman awam apatah lagi menganggu lalu lintas.

"Sama ada sebelum malam (mengundi) atau selepas menerima kemenangan, itu merupakan arahan yang telah jelas," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.

Tegasnya, ahli PAS dan penyokong diharapkan terus menjaga disiplin agar tidak dilihat sebagai pihak yang mencetuskan keadaan huru hara.

"Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang terlalu 'excited' sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya ataupun menghuru-harakan keadaan dan kehidupan orang ramai khususnya.

"Boleh bergembira, mungkin boleh berkumpul di Dataran Jambatan Angkat itu tiada masalah jangan kita menganggu lalu lintas sahaja kerana ia mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang awam," ujarnya lagi.