• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Jangan Cuba Jadikan Pulau di Terengganu Sarang Persundalan

KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Kerajaan memandang serius dan tidak akan membiarkan sebarang aktiviti tidak bermoral dilakukan sindiket persundalan di pulau peranginan di negeri ini sebagaimana didedahkan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Kerajaan Negeri sangat menghargai kejayaan pasukan polis Terengganu mengesan dan mencegah aktiviti maksiat itu yang disyaki baru mula bertapak.

Ujarnya, operasi dilakukan sindiket berkenaan dikesan berjalan secara atas talian menggunakan beberapa hotel bajet.

"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan panggil semua pengusaha hotel untuk berbincang dan memberikan amaran bagi memastikan segala perkhidmatan yang disediakan hanyalah yang halal di sisi agama sekali gus mematahkan sebarang cubaan untuk membuka pintu ke aktiviti haram.

"Saya menyeru kepada mana-mana pemegang taruh (pelancongan) sama ada hotel ataupun 'travel agency' untuk merancakkan kempen melancong ke negeri Terengganu dengan kita menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong sama ada domestik ataupun asing.

"Justeru jangan cuba hendak mengambil kesempatan dengan kehadiran ramai (dalam) kerancakan ekonomi pelancongan negeri Terengganu ada pihak cuba membawa perkara maksiat ke negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas  melakukan sesi kunjungan hormat Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Pengurusan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Jusoh.

Mengenai lawatan diadakan itu, Razali berkata pihaknya telah mendapat penjelasan terperinci daripada PDRM dan JHEAT.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi operasi pencegahan bagi memastikan aktiviti tidak bermoral itu tidak bertapak di negeri ini.

Sementara itu, Rozi berkata, JHEAT akan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk memastikan Terengganu bebas daripada apa-apa kesalahan jenayah syariah yang bercanggah dengan moral dan tatasusila.

"Perancangan kita untuk diadakan hebahan kepada semua bagi memastikan mereka patuh kepada garis panduan dan juga apa-apa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang telah dikuatkuasakan agar negeri ini bebas daripada maksiat dan perkara yang tidak bermoral," tegasnya.

Dalam pada itu, Mazli berkata PDRM akan terus melakukan operasi berterusan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman negeri supaya mendatangkan kebaikan kepada Kerajaan Negeri sekali gus untuk negara.

Untuk rekod, sebelum ini pihak polis telah menumpaskan sindiket persundalan dengan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada empat warganegara Thailand, Indonesia (2) dan Laos (1).

Kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.