• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Jangan Guna Jentera Kerajaan, PAS Tegur PH BN

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Parti Islam Se-malaysia (PAS) membidas tindakan parti politik yang menggunakan jentera dan premis kerajaan bagi tujuan politk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, lebih malang lagi terdapat juru kempen parti politik yang memasuki kawasan sekolah untuk berucap di hadapan para pelajar.

“Contohnya seperti yang berlaku pada program rasmi Kementerian Kesihatan baru-baru ini yang disertai oleh pemimpin berpakaian parti dalam program itu.

“Tindakan tersebut seolah-olah menggunakan penjawat awam untuk kepentingan dan tujuan politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Pengumuman calon Perikatan Nasional di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Tambah Dr Alias, pada esok hari pula akan diadakan pelancaran jentera Perpaduan Terengganu ketika Jelajah Perpaduan Madani di sebuah sekolah di negeri ini.

“Kita ingin tanya, adakah larangan penggunaan aset atau premis kerajaan sudah dibatalkan.

"Pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan, mengenai perkara itu” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, PAS Terengganu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada esok, 27 Julai 2023.

Senarai calon itu akan diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.