• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Jangan Jadi Nasi Tambah Dalam Isu Malaysia Dan Korea Utara- Jailani




Pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak tularkan dan menjadi 'nasi tambah' dalam isu hubungan antara Malaysia dan Korea Utara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari, berkata pihaknya sedang menyiasat mengenai tular seolah-olahnya pembunuhan beramai-ramai rakyat Malaysia di Korea Utara yang dikatakan disebar oleh akaun Facebook milik salah satu rangkaian televisyen di Malaysia.

"Perkara ni sekarang dalam perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) dan saya harap dapat dihentikan kerana ianya adalah berita palsu semata-mata yang boleh menimbulkan keresahan rakyat Malaysia terutamanya.

"Semoga rakyat kita yang masih ditahan di Korea Utara selamat dan kepada pihak yang suka menyebarkan perkara yang tidak betul,kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,"kata Jailani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sri Buloh,Kuala Berang, semalam.

"Setakat ini pihak SKMM menerima tiga aduan tentang tular mengenai peluru berpandu Korea Utara mampu sampai ke Malaysia dan kes tentang pembunuhan beramai-ramai ini adalah yang ke empat dalam siasatan.

"Nasihat saya kepada mereka di luar sana,jangan mudah terpengaruh kerana perlu tahu kesahihan serta sumber yang tepat dan punyai autoriti.

"Mereka yang menular berita yang tidak sahih di media sosial adalah pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengeruhkan keadaan dalam keadaan kita sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah ini," katanya lagi.

Jailani turut mengulas tentang isu panggilan spam yang turut tular sejak kebelakangan ini bagi kemaskini akaun bank di media sosial.

"Sebagai pengguna,haruslah berhati-hati bila terima panggilan yang kita tidak tahu kesahihannya.Jangan terus percaya sebaliknya buat semakan terlebih dahulu terutamanya jika melibatkan urusan bank.

"Sekarang ni ada pihak yang gunakan nama bank tempatan dan dalam kes ini perlu lakukan 'double check' samaada orang tersebut staf bank atau hanya 'decoy' untuk kesahihan sebelum membuat sebarang tindakan,"katanya lagi.

Tag: