Berita :
Jangan Panik Keluarkan Simpanan Bank – Pakar
Jangan Panik Keluarkan Simpanan Bank – Pakar
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 6 April – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terburu-buru mengeluarkan simpanan wang daripada bank susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat kerana tindakan panik sedemikian boleh memberi kesan lebih buruk kepada sistem kewangan negara.

Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, tindakan mengeluarkan wang secara besar-besaran atau dikenali sebagai bank run lazimnya berlaku apabila masyarakat bimbang terhadap kestabilan institusi kewangan.

Menurut beliau, walaupun kebimbangan itu sering dikaitkan dengan konflik geopolitik seperti di Asia Barat, sistem perbankan di Malaysia masih berada pada tahap yang kukuh dan stabil.

“Malaysia mempunyai struktur kawal selia yang mantap di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang sentiasa memantau tahap kecairan serta kesihatan institusi perbankan.

“Selain itu, simpanan pendeposit juga dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), sekali gus menjadikan risiko kehilangan simpanan akibat ketidakstabilan bank berada pada tahap yang sangat rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan segelintir masyarakat terhadap kemungkinan kesan konflik Asia Barat terhadap kedudukan kewangan dan simpanan peribadi.

Dr. Siti Nurain menjelaskan, konflik di Asia Barat sememangnya boleh memberi kesan tidak langsung seperti peningkatan harga minyak global, tekanan inflasi serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.

Bagaimanapun katanya, kesan tersebut lazimnya bersifat sementara dan masih dalam kawalan.

“Malah sebagai negara pengeksport minyak, Malaysia juga berpotensi mendapat manfaat tertentu daripada kenaikan harga komoditi itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kesan psikologi terhadap masyarakat akibat penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial lebih membimbangkan.

Katanya, maklumat yang sensasi dan tidak disahkan boleh mencetuskan ketakutan awam, seterusnya mendorong tindakan tidak rasional seperti menyimpan tunai secara berlebihan di rumah.

“Tindakan ini bukan sahaja berisiko kepada keselamatan individu, malah boleh mengganggu kestabilan sistem kewangan jika berlaku secara meluas,” katanya.

Menurut beliau lagi, dari sudut perbankan Islam, tindakan panik yang tidak berasaskan fakta juga bercanggah dengan prinsip kestabilan (maslahah) dan boleh membawa unsur ketidakpastian (gharar) dalam sistem ekonomi.

Sehubungan itu, masyarakat disaran supaya sentiasa bertenang dan membuat keputusan kewangan secara rasional dengan merujuk kepada sumber sahih seperti kenyataan rasmi daripada BNM serta laporan media yang berwibawa.

Dalam masa sama, beliau berkata, orang ramai sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan kewangan peribadi berbanding bertindak mengeluarkan wang secara berlebihan.

“Antara langkah yang boleh diambil termasuk memastikan dana kecemasan mencukupi, mengawal perbelanjaan harian, mengurangkan penggunaan utiliti seperti elektrik dan air secara lebih efisien serta mengelakkan pembelian atau pinjaman yang tidak kritikal.

“Langkah penjimatan ini bukan sahaja membantu individu menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup akibat tekanan inflasi, malah mengurangkan kebergantungan kepada hutang dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat juga perlu lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan panik yang tidak perlu.

“Kesedaran dan literasi kewangan yang tinggi amat penting supaya masyarakat dapat membuat keputusan yang lebih rasional serta membantu mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan