• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jangan Pilih Bulu, Fokus Kebajikan Penduduk Setempat



Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan mengambil tahu dan mendapatkan maklumat mengenai masalah setempat untuk disalurkan ke Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran supaya diselesaikan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Saiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri memberikan kepercayaan penuh kepada semua Ahli Jawatankuasa MPKK supaya berkhidmat sebaik yang mungkin dan menumpukan kebajikan penduduk setempat tanpa memilih bulu.

Katanya, oleh yang demikian, kerajaan juga memerlukan kerjasama semua pihak supaya bantuan dapat sampai secara menyeluruh dan menumpukan kepada rakyat yang memerlukan.

"MPKK wajib ambil cakna dan peka dengan masalah penduduk setempat. Janganlah kita gunakan alasan 'warna parti politik' untuk menidakkan bantuan kebajikan kepada yang berkenaan.

"Kita perlu gunakan saluran sedia ada untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk terutama melalui masjid dan surau. MPKK juga perlu pandai menggunakan media baru seperti facebook, instagram dan twitter," kata beliau.

Saiful berkata demikian di majlis penyampaian sijil watikah pelantikan kepada Pengerusi dan semua AJK MPKK DUN Paka di Dewan Masjid Pinang Merah, kelmarin.

Kira-kira 250 peserta hadir pada majlis kelmarin.

Turut hadir,  Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun,Ustaz Jamaludin Jusoh dan Penyelia i-MiTS DUN Paka,Ustaz Mohd Kamal Mohd.


















Saiful juga memaklumkan akan wujud dari kalangan MPKK yang dilantik sebagai penguatkuasa syariah atau sukarelawan dalam membantu kerajaan meningkatkan pelaksanaan syariah di negeri ini.

Di samping itu, beliau menambah, semua pemimpin setempat perlu melaksanakan segala kerja dengan ikhlas dan meyakini bahawa segala tindakan dan amalan kita disaksikan Allah Taala.



Tag: