• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu- JAIM Rintis Kerjasama

MELAKA, 20 November- Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu menjalinkan hubungan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam usaha memperkasa institusi agama di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan kali ini dilaksanakan untuk merintis perbincangan seterusnya antara kedua-dua jabatan agar dapat bertukar-tukar pandangan.

"Saya juga melihat bagaimana pengurusan hebat yang dibuat pengarah JAIM, Dato' Che Sukri sendiri sehingga menjadi jabatan agama pertama menerima Persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) pada Ogos lalu.

"Dengan harapan, Insya-Allah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dapat mempelajari beberapa kebaikan-kebaikan yang ada.

"Semoga kita dapat mengadakan perjumpaan seterusnya Insya-Allah di Terengganu pula, dan saya terbuka menjemput JAIM ke Wisma Darul Iman pula selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kunjungan Hormat ke ibu pejabat JAIM, di sini semalam.

Mengiringi beliau adalah timbalannya; Ridzuan Hashim, Timbalan Mufti Terengganu; Sahibul Fadilah Ahadi Othman, Pegawai Agama Islam daerah Kuala Terengganu; Shukri Faiz Jusoh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI); Mohd Soud Said.

Turut hadir, Pengarah JAIM; Dato' Che Sukri Che Mat, Timbalan Mufti Negeri Melaka; Hazarudin Baharudin serta Ketua-ketua Bahagian JAIM.

Dalam pada itu, Che Sukri turut mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Terengganu bagi kerjasama pada masa akan datang.@

"Kami daripada peringkat negeri Melaka amat menyanjung tinggi kerana kita dapat bertukar-tukar pendapat dan mencerakinkan idea.

"Mungkin ada beberapa pendekatan slot yang ada di Terengganu dan tiada di Melaka, manakala ada juga sebaliknya yang boleh dikongsikan.

"Insya-Allah, kami juga akan berkunjung ke Terengganu selepas ini bagi mendapatkan maklum balas daripada sana," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: