KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Jenazah adinda Sultan Terengganu, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Dr Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, 52, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini, kira-kira jam 6.10 petang ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan istiadat pemakaman Almarhum.
Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, jenazah Almarhum tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 1.20 tengah hari dengan pesawat khas sebelum dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyyah pada jam 2 petang untuk diberikan penghormatan terakhir.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham serta barisan kepimpinan negeri.
Bacaan tahlil dan doa dipimpin oleh Mufti Terengganu, Profesor Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar.

Almarhum meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail serta tiga orang anakanda.