• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jenazah Ayahanda Saudara Sultan Mizan Tiba Di Terengganu Untuk Dimakam

 

 

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin, di sini, malam ini.

Jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pada kira-kira 5.02 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ketibaan jenazah disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan kerabat-kerabat Diraja.

Jenazah kemudian diiringi ke Istana Syarqiyah bagi disemayamkan dan untuk penghormatan terakhir sebelum ke Istana Maziah dan akan dibawa ke makam Diraja dengan usungan Seraja Diraja.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke Balai Islam bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tengku Sri Laksamana Raja.

Turut  hadir memberi penghormatan terakhir, anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Allahyarham Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman, 80, mangkat pukul 10.15 pagi tadi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur kerana jangkitan paru-paru dan buah pinggang.