Berita :
Jeti Lama Kijal Hidup Semula Kerana Candat Sotong
Jeti Lama Kijal Hidup Semula Kerana Candat Sotong
Hafiz Rosli
1 jam yang lepas
49

KEMAMAN, 13 April – Kawasan Jeti Star Cruises Kijal yang sebelum ini sunyi kini kembali meriah apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti mencandat sotong sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati seawal jam 5.30 petang hingga 8 malam, jeti sepanjang kira-kira 300 meter itu dipenuhi lebih 100 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak seawal tujuh tahun hingga warga emas berusia lebih 60 tahun.

Seorang penduduk Kampung Meraga Beris, Mohd. Ghazali A. Rahman, 51, berkata beliau mengambil peluang mencandat sotong bersama rakan-rakan selepas pulang dari kerja.

“Biasanya saya datang memancing, tetapi apabila tiba musim sotong, semakin ramai yang hadir kerana sotong jarum menghampiri kawasan pantai untuk mencari makan.

“Kebiasaannya, waktu paling banyak sotong adalah antara jam 7 hingga 8 malam," katanya menurut laporan berita Kosmos Malaysia semalam. 

Ghazali berkata dia akan berhenti seketika untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menyambung semula aktiviti mencandat.

Katanya, ada juga pengunjung yang sanggup menunggu sehingga lewat malam, namun beliau hanya meluangkan masa sekitar dua hingga tiga jam sahaja setiap kali datang.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Said Nan, 66, berkata beliau tidak melepaskan peluang membawa isterinya, Mek Kemas Mohamad, 58, untuk menikmati suasana musim mencandat sotong.

“Kami datang bukan semata-mata untuk hasil, tetapi lebih kepada mengisi masa lapang dan menikmati suasana bersama keluarga.

"Kadang-kadang dapat lebih lima ekor, kadang-kadang pulang kosong, itu perkara biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahrunnizam Mohamad, 32, berkata aktiviti mencandat dari jeti atau pantai lebih menjimatkan berbanding menaiki bot ke tengah laut.

“Kami hanya perlu bawa peralatan sendiri tanpa perlu menyewa bot. Ia juga lebih selamat, terutama bagi yang datang bersama keluarga.

“Bagaimanapun, pengunjung perlu lebih berhati-hati kerana jeti ini tidak berpagar,” ujarnya.

Selain Jeti Lama Kijal, beberapa lokasi lain seperti Pantai Kerteh, Pantai Penunjuk dan Pantai Kijal turut menjadi pilihan orang ramai bagi menjalankan aktiviti mencandat sotong pada musim ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan