Jeti Pulau Tenggol RM5.8 Juta Bakal Dibina

KUALA TERENGGANU, 18 April - Kerajaan Terengganu bakal membina jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol yang menelan belanja RM5.8 juta sekali gus menggamit lebih ramai kehadiran pengunjung. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek terbabit merupakan salah satu keutamaan bagi kerajaan negeri dalam sektor pelancongan.

"Ia telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Rolling Plan Pertama kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin di semasa Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. 

Menurut Razali, projek itu membabitkan fasa pertama selama enam bulan dan fasa kedua pula akan mengambil masa selama 24 bulan.

Katanya, Majlis Perbandaran Dungun akan bertindak sebagai penyelaras projek.

"Objektif utama dalam pelaksanaan projek ini adalah bagi meningkatkan kemudahan sedia ada bagi menarik pelancong ke Pulau Tenggol serta kemudahan awam sedia ada di perkedaian medan ikan bakar.

"Dengan adanya kemudahanya jeti pelancong ini akan wujudlah pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan Pulau Tenggol di samping membantu mewujudkan kemudahan untuk penduduk bertemu mesra apabila sebarang aktiviti dijalankan," ujarnya.