Berita :
Jeti Uzur, Teknologi Moden Jadi Tumpuan Perkasa Perikanan, Pertanian Terengganu
Jeti Uzur, Teknologi Moden Jadi Tumpuan Perkasa Perikanan, Pertanian Terengganu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
81

KUALA TERENGGANU, 21 April – Infrastruktur jeti pendaratan dan penggunaan teknologi moden kini menjadi fokus utama dalam usaha memperkasa sektor pertanian dan perikanan di Terengganu susulan isu hasil tangkapan yang masih belum sepadan dengan pelaburan yang dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun pelbagai inisiatif seperti pembinaan pelabuhan tukun tiruan dilaksanakan setiap tahun, peningkatan hasil pendaratan ikan masih belum menunjukkan lonjakan yang signifikan.

Menurut beliau, jumlah pendaratan ikan direkodkan sekitar 43,000 tan metrik pada 2024 berbanding 39,000 tan metrik pada 2023, sekali gus memperlihatkan peningkatan yang kecil berbanding usaha yang telah dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu yang menekankan kepentingan inovasi penangkapan ikan secara lestari serta perlindungan sumber marin selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

“Keadaan ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam rantaian industri perikanan, khususnya melibatkan kemudahan di jeti pendaratan yang perlu diberi perhatian segera.

“Ada nelayan yang memperoleh hasil tangkapan di perairan Terengganu, namun mendaratkan ikan di negeri lain disebabkan kekangan infrastruktur,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Azman memaklumkan sektor pertanian terus menunjukkan prestasi positif apabila menyumbang 3.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dengan nilai RM2.9 bilion pada tahun 2024.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh sektor berkenaan melalui pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk memperluas penggunaan teknologi moden.

“Antara teknologi yang sedang diterapkan ialah Internet of Things (IoT), dron, sistem hidroponik serta tenaga solar bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian,” ujarnya.

Tambah beliau, segala titah dan saranan Tuanku akan diberi perhatian serius bagi memastikan keterjaminan makanan serta kelestarian sumber alam dapat dicapai secara berterusan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan