• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

JHEAT Bakal Lakukan Penambahbaikan


Penambahbaikan akan dilakukan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dari segala aspek bagi menambah mutu pengurusan di jabatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata beliau memahami kegelisahan segelintir masyarakat terhadap JHEAT sejak kebelakangan ini yang dilihat lemah dari segi pengurusan.

Beliau berkata, perbincangan dengan Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim telah dilakukan bagi melihat kembali perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk menambah baik jabatan tersebut.

“Antaranya yang saya lihat, jabatan perlu fokuskan kepada kehadiran kakitangan ke pejabat tepat pada waktu yang ditetapkan.

“Selain itu, kita juga mahu lihat bahawa dari setiap sudut unit dalam jabatan itu disusun kembali supaya ia berpusing megikut kapasiti yang sebenar. Mengikut kemahiran dan kebolehan supaya kakitangan itu di letakkan semula mengikut bidang-bidang keupayaan masing-masing bagi meningkatkan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Sembang Santai Bersama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim.

Tambahnya lagi, aspek yang boleh dilakukan penambahbaikan lagi adalah melalui pemantauan di kalangan kakitangan termasuk pegawai jabatan tersebut supaya tidak terjadi penyalahgunaan kuasa.

Katanya, perancangan berjangka masa panjang dan pendek perlu dilakukan supaya jabatan tersebut dilihat lebih tersusun agar tercapai Prosedur Operasi Standard (SOP).

"SOP ini sebenarnya sudah ada, namun kini ianya terletak kepada kepimpinan telus serta tegas yang melihat kepada cara untuk memulihkan kembali nama baik jabatan ini,” katanya.

Tag: