• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jiran Harus Lapor Kes Keganasan Rumah Tangga, Dera

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Jiran tetangga boleh membantu membendung kes keganasan rumah tangga dan penderaan di kawasan kediaman mereka dengan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan bantuan

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menyarankan supaya orang ramai mengambil berat dan bertanggungjawab kepada jiran tetangga bagi mengelakkan kes tersebut terus meruncing.

“Sekiranya ada situasi mencurigakan, pihak jiran perlu laporkan kepada pihak berkuasa dengan segera.

"Kecaknaan jiran dan ahli keluarga adalah penghalang supaya kes keganasan rumah tangga sebegini tidak berlaku,” jelasnya ketika bersiaran di Tv Darul Iman baru-baru ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan banyak sebab berlakunya jenayah itu antaranya berpunca daripada ibu bapa.

“Antara kes-kes yang mengejutkan kami seperti seorang pemandu jengkaut didakwa menembak isterinya di dada ketika tidur di Kota Tinggi dan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun dipercayai didera Ibu kandung dan bapa tiri di Melaka.

“Banyak sudah berlaku jenayah sebegini dimana ia tidak perlu wujud, sebagai sorang Islam kita perlu ingat tanggungjawab dengan Allah SWT.

“Bukan sekadar makan minum dan pakaian ahli keluarga, tetapi kebajikan, keselamatan dan tanggungjawab perlu dididik dalam kalangan rumah tangga,” katanya.

Mengulas tentang usaha pihak kementeriannya, Siti Zailah memaklumkan, talian untuk aduan telah disalurkan kepada agensi berkatian seperti Polis dan Pegawai Pelindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keganasan dan isu penderaan boleh hubungi Talian bebas tol Kasih 15999, WhatsApp 0192615999 atau ke melapor kepada balai polis berdekatan,” katanya lagi.