lightning-solid
Berita :
JPJ Terengganu Kesan Lima Pemandu Kenderaan Perdagangan Positif Dadah Dalam Ops Bersepadu
JPJ Terengganu Kesan Lima Pemandu Kenderaan Perdagangan Positif Dadah Dalam Ops Bersepadu
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan lima pemandu kenderaan perdagangan positif dadah menerusi Ops Bersepadu Dadah yang dilaksanakan di negeri ini sejak 1 Julai lepas.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion, berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 235 saringan air kencing dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dengan 12 individu dikesan positif methamphetamine, namun hanya lima daripadanya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan.

Beliau berkata angka itu masih dianggap rendah, namun operasi akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan bebas daripada penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan keupayaan pemanduan dan meningkatkan risiko kemalangan maut.

"Justeru, kementerian melalui Ketua Pengarah JPJ Malaysia mengarahkan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan terhadap kes melibatkan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Dadah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka di sini, hari ini.

Operasi itu dilaksanakan  67 keanggotaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK, Jabatan Imigresen Malaysia, PUSPAKOM, MOTAC, Lembaga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) serta beberapa agensi berkaitan.

Beliau berkata operasi berkenaan memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan termasuk lori, bas ekspres serta kenderaan perkhidmatan awam seperti kereta sewa.

"JPJ tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan.

" Kita juga menggesa syarikat pengangkutan memastikan pemandu mereka sentiasa bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya.

Mengulas pematuhan lain, beliau berkata pemeriksaan turut melibatkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans serta permit berkaitan.
Menurutnya, setakat ini tahap pematuhan adalah memuaskan dengan kebanyakan kesalahan yang dikesan melibatkan isu teknikal kenderaan, manakala tiada pelanggaran serius membabitkan lesen atau permit sepanjang operasi berkenaan.

Beliau berkata Ops Bersepadu Dadah akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha memperkukuh penguatkuasaan dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan di negeri itu.


Tag :

Artikel Berkaitan