Berita :
JPKK Kampung Banggol Bantu Penduduk Terjejas Krisis Bekalan Air
JPKK Kampung Banggol Bantu Penduduk Terjejas Krisis Bekalan Air
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
104

KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Banggol menggerakkan pasukan sukarelawan bagi menghantar bekalan air ke rumah penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air di daerah ini.

Pengerusi JPKK Kampung Banggol, Zulkifli Che Esa berkata, operasi itu memberi keutamaan kepada warga emas, penduduk uzur dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan bekalan air.

Menurutnya, usaha tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban penduduk yang berdepan kesukaran sejak gangguan bekalan air berlaku.

“Pihak JPKK Kampung Banggol mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, SATU Setiu, Khairil Azizi Nodin, Pejabat ADUN Permaisuri, Jabatan Amal dan semua sukarelawan yang terlibat dalam operasi bantuan ini.

“Sumbangan dan pengorbanan mereka amat dihargai dan diharapkan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” jelasnya dalam laman sosial, hari ini.

Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang operasi dijalankan dan berharap krisis bekalan air tersebut dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, notis gangguan bekalan air luar jangka yang dikeluarkan pada 4 Jun lalu memaklumkan gangguan berpunca daripada paras takungan air tangki utama yang rendah susulan gangguan operasi pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Kemudu.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung (Kg) Tasek, Kg Buruk, Kg Kederang, Kg Buluh Hilir, Bandar Permaisuri, Kg Balik Bukit, Kawasan Sungai Tarom, Lembah Jaya, Kg Pak Kancil Luar, Bukit Kemudu, Kg Banggol, Kg Permaisuri, Kg Nyatoh, Kg Penarik, Kg Bkt Chalok, Kg Baru, Penarik, Kg Mangkuk, Kolam Udang Archipelago dan kawasan sekitarnya, melibatkan kira-kira 2,000 akaun pengguna.

Kerja pembaikan dan pemantauan sedang dijalankan oleh pasukan NRW Setiu dan M&E bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan