lightning-solid
Berita :
JPKK Kg Bukit Ara Hidupkan Semula Permainan Wau
JPKK Kg Bukit Ara Hidupkan Semula Permainan Wau
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
34

KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Ara mengembalikan semula kegemilangan permainan tradisional wau wajar dipuji apabila permainan yang dianjurkan berjaya menarik minat serta penyertaan golongan muda dalam Pertandingan Wau Tertutup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, inisiatif tersebut amat bermakna dalam memastikan seni warisan bangsa terus dipelihara dan tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Katanya, penganjuran pertandingan bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk lebih mengenali, menghargai dan mencintai permainan tradisional seperti wau.

"Tahniah kerana berjaya menghidupkan kembali permainan tradisional ini, terutama dalam memperkenalkan permainan wau ini kepada golongan muda agar mereka lebih mengenali, menghargai dan mencintai warisan budaya bangsa. 

FB_IMG_1770994917153.jpg 338.53 KB
"Usaha sebegini amat bermakna dalam memastikan permainan wau terus kekal relevan dan tidak ditelan arus pemodenan," katanya dalam laman sosial rasminya, semalam.

Menurut Maliaman, suasana di Kampung Bukit Ara petang itu cukup meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang hadir memberi sokongan kepada para peserta.

"Program tersebut turut dilihat bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat tapi berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat selain memupuk semangat kebersamaan," ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap lebih banyak program berteraskan seni warisan tradisional dapat diperkasakan pada masa akan datang demi memastikan khazanah budaya terus subur untuk generasi seterusnya.
FB_IMG_1770994920063.jpg 224.73 KB


Tag :

Artikel Berkaitan