JPNT Senarai 101 Aktiviti Meriahkan Ramadan

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) buat julung kalinya telah menyenaraikan 101 aktiviti termasuklah Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, Bazar Moreh, Madinah Ramadan serta pelbagai program lain bagi memeriahkan Ramadan di negeri ini.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, memaklumkan bahawa kesemua aktiviti yang dianjurkan di setiap daerah telah disenaraikan sebagai acara utama dalam program Indahnya Ramadan @ Terengganu.

"Diharapkan pendekatan baharu ini, yang kini dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan, akan menjadi daya tarikan baharu bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke Terengganu sepanjang bulan Ramadan.

"Selain menikmati pelbagai variasi makanan tradisional Terengganu, pelancong juga berpeluang menyertai pelbagai program keagamaan yang diadakan di seluruh daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media Program Peliter Raya @ KSNT yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), semalam.

Mengulas lebih lanjut, semua aktiviti itu akan dihebahkan secara e-brosur untuk rujukan para pelancong sebelum dan semasa berada di negeri ini.

"Di antara acara utama Indahnya Ramadan @ Terengganu yang disenaraikan adalah Bazar Ramadan Pasar Chabang Tiga, Moreh Ramadan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Carfood Sahur 8.0, Terengganu Drawbridge Moreh Festival, Selepek Sahur Payang Walk.

"Antaranya lagi ialah, program Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Sambutan Nuzul Quran dan Badan Qubra Peringkat Negeri di Kuala Terengganu.

"Selain itu turut tersenarai membabitkan daerah Kula Nerus ialah Bazar Ramadan Teluk Ketapang dan Moreh Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA).

Manakala di Kemaman ialah Bazar Ramadan Persatuan Usahawan Perwira dan Bazar Moreh Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah,"ujarnya.

Tambah beliau lagi antara aktivti yang tersenarai membabitkan Daerah Dungun pula ialah Bazar Ramadan Sura Gate dan D'Moreh.

"Untuk Daerah setiu ialah Bazar Ramadan Rhu 10 dan Program Qiamullail Perdana dan Pahlawan Subuh.

"Di Hulu Terengganu Bazar Aidilfitri Bandar Kuala Berang dan Bazar Ramadan Ajil, turut tersenarai Bazar Ramadan Bandar Marang di Daerah Marang.

"Besut pula yang tersenarai ialah Bazar Ramadan Dataran Limbongan dan Bazar Ramadan di Kampung Raja,"jelasnya.