• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jualan HPPNK Cecah RM270 Juta

  


Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK17) berjaya mencatat nilai jualan keseluruhan mencecah hampir RM270 juta sekali gus membuktikan kejayaan penganjurannya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, HPPNK17 yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 1 Oktober lalu di MAEPS Serdang itu menjadi satu sumber pendapatan baharu kepada golongan berkenaan.

"Hasil jualan itu hampir menyamai rekod jualan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sedangkan kapasiti HPPNK hanyalah kira-kira 20 peratus berbanding MAHA.


"Saya amat teruja dan bangga melihat lebih ramai generasi muda menceburkan diri dalam bidang penyediaan makanan yang berasaskan hasil pertanian.

"Bukan itu saja, saya juga yakin masa hadapan bidang pertanian dan penghasilan produk makanan dalam negara ini amat cerah melalui sumber-sumber baharu daripada sektor pertanian," Katanya.

Pihak wartawan bertemu ramah Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek ketika di Majlis Santai Bersama Menteri MoA sempena penganjuran Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kerteh baru-baru ini.

Menurut Shabery, HPPNK17 penuh dengan generasi muda berpakaian seorang ‘chef’ dan terlibat dalam penyediaan makanan sempena pesta' Terokai Dunia Makanan' sepanjang program itu.

"Lebih 15 ribu nelayan dari seluruh negara dijangka akan berkampung di pantai berkenaan sempena GNN 2017 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 14 Oktober ini.

"Program GNN dijangka melibatkan himpunan lebih 300 bot nelayan dari seluruh negara disamping pelbagai acara menarik diadakan seperti Forum Perdana, Pertandingan Wau dan Pesta Sukan Air," Katanya.



Tag: