SETIU, 23 April – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir hari ini telah turun padang memantau sendiri kelancaran Program Jualan Murah Sotong Segar bagi memastikan penduduk setempat berpeluang menikmati hasil laut dengan harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.
Seawal pagi tadi, beliau telah berada di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Penarik demi memastikan urusan logistik dan memastikan bekalan sotong yang baru dinaikkan terus dihantar ke perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Setiu (HQ) di Bandar Permaisuri.
Langkah ini diambil bagi memastikan stok sampai ke lokasi jualan seberapa segera memandangkan orang ramai sudah mula menunggu di perkarangan pejabat.
Dalam program tersebut, sebanyak 700kg sotong segar telah disediakan untuk jualan.
Bagi memastikan agihan yang saksama, setiap pembeli dihadkan kepada 2kg sahaja pada harga RM3 sekilo, berbanding harga pasaran biasa yang mencecah RM10 sekilo.
"Inisiatif ini bukanlah berniat untuk memecahkan harga pasaran sedia ada kerana bukannya selalu kita buat jualan begini. Tetapi ini adalah inisiatif di musim sotong demi memastikan ramai rakyat dapat menikmati nikmat sotong dengan harga yang jauh lebih murah," ujar beliau ketika mengulas mengenai program tersebut, semalam.
Tinjauan di perkarangan pejabat PKM mendapati suasana jualan berjalan terkawal dengan bantuan petugas yang menguruskan timbangan sebaik sahaja stok sampai dari jeti. Rata-rata penduduk melahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak YB yang sanggup memastikan bekalan sampai cepat untuk dinikmati warga Setiu.
Tag :