• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Jualan Terus Dari Ladang Bantu Rakyat

KUALA NERUS, 28 Julai - Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) membantu rakyat dalam membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hilmi Dato’ Harun berkata program berkenaan juga dapat membantu usahawan dan peniaga kecil untuk mengembangkan lagi produk mereka. 

Katanya, usahasama kerajaan negeri dan FAMA di Pasaraya Mydin Gong Badak itu akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 28 hingga 30 Julai 2022.

“Sasaran jualan selama tiga hari ini dianggarkan sebanyak RM150 ribu serta harga jualan dikurangkan sebanyak 5 hingga 15 persen kepada pembeli,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang dan Pesta Orkid semalam.

Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nukman Hashim.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan kepada pengunjung yang hadir seperti pertandingan sukan rakyat, pertandingan gubahan bunga dan flora, mewarna batik dan pelbagai lagi.

Nukman Hashim memaklumkan bahawa sambutan dari segi usahawan memberangsangkan dan mereka sentiasa ingin mengikuti program FAMA setiap kali diadakan kerana banyak memberi manfaat dan faedah kepada mereka.

“Antara jualan di program JTDL hari ini adalah jualan buah-buahan tempatan, jualan produk industri makanan, jualan pokok bunga ros serta pelbagai lagi dan pengunjung dapat membeli barangan tersebut dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya.

 


Tag: