• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal

 

 

HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Masalah jenayah dadah di kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020, hanya terdapat 188 orang penagih dadah wanita di negeri ini.

Katanya, remaja wanita seawal usia 14 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun.

"Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat.

"Sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu pihak polis mengurangkan gejala penagihan dadah di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Penutup 'Community Policing' Jihad Dadah sempena penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63 di Sungai Kuala Menjing, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 12 tangkapan telah berjaya dibuat melalui serbuan yang dilakukan kepada 16 rumah dan enam sarang penagih dadah dalam kawasan zon operasi.

Menurut Rosli, ia merupakan hasil fasa pertama projek " Jihad Dadah" yang telah dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos baru-baru ini sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke 63.