Berita :
Kaedah Dakwah Nusantara Tarik Perhatian Dunia Islam
Kaedah Dakwah Nusantara Tarik Perhatian Dunia Islam
Hafiz Rosli
16 jam yang lepas
10

KUALA NERUS, 4 April - Kaedah dakwah di Nusantara yang berteraskan hikmah, ilmu dan pendekatan damai kini semakin mendapat perhatian dunia Islam sebagai model terbaik dalam menyatukan masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata penyebaran Islam di Alam Melayu berlaku tanpa paksaan, sebaliknya melalui peranan ulama’ yang bertafaqquh.

Menurutnya, di samping pendekatan yang adil dan berhikmah, sehingga berjaya membentuk masyarakat Islam yang bersatu walaupun berbeza mazhab dan budaya.

“Pendakwah di Nusantara berjaya mengislamkan masyarakat dengan pendekatan damai, menghormati kepelbagaian dan tidak berpecah dalam perkara dasar, walaupun berbeza dalam perkara cabang. Inilah kekuatan yang perlu dicontohi.

“Perpaduan umat Islam mesti terus diperkukuh dengan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas utama, di samping mengelakkan perpecahan yang berpunca daripada kejahilan dan sikap melampau dalam berbeza pandangan,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, pendakwah antarabangsa Zakir Naik, Menteri Besar negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional serta pimpinan antarabangsa lain.

Abdul Hadi berkata peranan ulama’ bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi memastikan kefahaman yang mendalam (tafaqquh) supaya Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam kehidupan, termasuk dalam aspek pentadbiran, ekonomi dan sosial.

“Kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada perpecahan dan pengabaian terhadap ilmu yang sebenar, sekali gus menuntut usaha berterusan untuk mengembalikan kekuatan ummah melalui perpaduan, kepimpinan berilmu dan penguasaan ekonomi.

“Program ini menghimpunkan para ulama’, cendekiawan dan peserta dari dalam serta luar negara bagi membincangkan peranan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa di peringkat serantau dan global,” katanya.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan