• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kampung Makmur Sejahtera

Cikgu Alias Harun (kanan) menyampaikan watikah pelantikan MPKK kepada jawatankuasa.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mestilah sentiasa berusaha menyelesaikan permasalahan masyarakat  dan menjadikan kampung seliaan mereka makmur dan sejahtera.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Cikgu Alias Harun berkata, MPKK memikul amanah yang berat dan ianya perlu mendapat kerjasama semua.

“Satu kerja tidak boleh dibuat seorang diri, tetapi beramai -ramai, barulah kampung kita aman dan kita akan hidup di dalam kemakmuran,” jelas beliau.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang  berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kenduri Qurban 2018 MPKK Alor Mak Bah Batu Putih di Balai Raya Kampung Alor Mak Bah, pada Jumaat, 24 Ogos.

Oleh itu, beliau berharap MPPK dan  penduduk kampung mestilah sentiasa mengadakan majlis dialog atau perbincangan.

“Kita tidak mahu keputusan itu daripada satu kepala semata-mata dan mestilah menjadi orang yang adil kepada orang berhak,” ujar beliau lagi.

Di majlis tersebut juga, seramai 15 orang ahli MPKK kampung tersebut telah menerima watikah perlantikan daripada Cikgu Alias Harun.


Justeru, beliau mengesyorkan agar setiap kampung menubuhkan skuad cakna bagi menjaga kesejahteraan  penduduk.

“Selepas ini kita akan minta kampung, setelah diisytiharkan, kita akan minta Skuad Cakna, iaitu skuad jaga (keselamatan) kampung," katanya.

Tambahnya, kumpulan prihatin rakyat itu akan memudahkan  sebarang masalah serta rungutan masyarakat didengar dan diselesaikan.

Tag: