lightning-solid
Berita :
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Hidupkan Hari Israk Mikraj di DUN Jerteh
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Hidupkan Hari Israk Mikraj di DUN Jerteh
Muhammad Afiq Mohd Sa'adi
11 jam yang lepas
41

BESUT, 18 Januari – Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang berlangsung selama dua hari dua malam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh berjaya menyuntik semangat penghayatan peristiwa Israk Mikraj dalam kalangan masyarakat setempat.

Program yang disusun padat dengan pengisian rohani dan aktiviti kemasyarakatan itu menyaksikan kehadiran luar biasa pengunjung, membuktikan keberkesanan platform ilmu dalam menyatukan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, pengisian program yang bermula dengan slot 'Pahlawan Subuh' sehingga malam kemuncak nasyid bertujuan untuk mendekatkan rakyat dengan gaya hidup bersyariat.

EE55B83E-9B15-492A-AA28-E916C4F6FE38.jpeg 2.87 MB

"Alhamdulillah, kehadiran pengunjung sangat luar biasa. Ada rasa hiba bercampur gembira bila mengenangkan karnival ini sudah sampai ke penghujungnya.

"Sepanjang minggu ini, DUN Jerteh benar-benar hidup dengan pengisian ilmu, terutamanya dalam menghayati peristiwa agung Israk Mikraj," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Jerteh, di sini baru-baru ini.

Dr. Riduan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas inisiatif yang sentiasa mengutamakan agenda agama sebagai teras pentadbiran.

"Karnival sebegini bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting untuk mengajak rakyat mendekati dan mencintai ilmu," tambah beliau lagi.

Antara pengisian utama yang menarik perhatian ramai ialah 'Langkah Solidariti Untuk Gaza', Kuliah Medan Ilmu, serta 'Sembang Santai' bersama Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kamaruzaman.

C8AAA608-611C-46DA-BE3C-B7F7CA2BF38C.jpeg 14.54 MB

Selain itu, program turut menyantuni pelbagai lapisan masyarakat menerusi Pertandingan Explorace wanita muda, Talkshow Subuh bersama Pengerusi MuslimCare Malaysia, Haji Zulkifli Wahijan dan Hero Sumud Flotilla, Safuan Ujar, serta Sukan Rakyat.

Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pameran pelbagai agensi antaranya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain inisiatif Jualan Rahmah bagi membantu meringankan beban ekonomi penduduk.

Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat.

Malam kemuncak karnival berkenaan diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Soutul Amal dan Arrasy, selain sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik buat pengunjung yang hadir.

407A670C-BBAE-4122-875E-1071C6F91955.jpeg 16.19 MB


Artikel Berkaitan