• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Karnival Penjana Pekerjaan Tawar Lebih 7,000 Jawatan Kosong

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober  - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2020 yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 11 Oktober ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri bakal membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program tersebut adalah satu inisiatif kerajaan Terengganu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memulihkan kembali ekonomi negara dan negeri.

Katanya, ia juga diyakini mampu memperkukuh pasaran buruh Malaysia pasca COVID-19.


''Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan," ujarnya dalam wawancara di Wisma Darul Iman semalam.

Jelasnya. proses temuduga dan pengambilan pekerja akan berlangsung pada Karnival Penjana Pekerjaan itu dengan banyak penawaran jawatan kosong yang menanti.

"Suka saya nyatakan bahawa, karnival ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam PASCA COVID-19 di mana lebih 7,000 jawatan ditawarkan oleh 100 majikan dari pelbagai bidang," tambah beliau.