• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kawal Kendiri, Elak Timbul Kes Positif Baharu - Exco

KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Seluruh rakyat Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan membuat kawalan kendiri bagi mengelakkan timbul kes positif baharu di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Mohd Nor Hamzah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini bukan bermaksud masyarakat bebas bergerak dan boleh melakukan segala aktiviti seperti biasa.

“Kita masih berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, cuma dilonggarkan beberapa sektor terutamanya membabitkan ekonomi, itu pun secara bersyarat.

“Dalam erti kata lain, aspek kesihatan untuk membasmi wabak COVID-19 masih perlu kita utamakan, terus amalkan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita tidak mahu negeri kita mempunyai kes baharu atau peningkatan pesakit secara mendadak sebagaimana yang berlaku di Selangor kelmarin,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang ingkar SOP termasuk menarik balik PKPB sebagaimana pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya menyeru supaya setiap rakyat menjaga disiplin, kawalan kendiri itu lebih penting daripada undang-undang.

“Contohnya jika tiada undang-undang yang menyekat untuk membawa anak keluar rumah, maka kita perlu bertanya dengan diri sendiri apakah perlu membawa anak pergi ke tempat ramai atau sebaliknya.

“Tidak semua perkara mesti ada undang-undang kerana kawalan kendiri itu lebih penting sebenarnya,” katanya.


Tag: