Jalur Gemilang
Berita :
Kawasan Berisiko Banjir Di Kuala Nerus Berkurang 40 Peratus
Kawasan Berisiko Banjir Di Kuala Nerus Berkurang 40 Peratus
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
124

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Kuala Terengganu Utara (UMT) dan kawasan sekitar berjaya mengurangkan keluasan kawasan berisiko banjir daripada hampir 700 hektar kepada 450 hektar, sekali gus meningkatkan perlindungan daripada banjir kilat kepada kira-kira 3,000 penduduk di kawasan perumahan Gong Badak.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, projek bernilai kira-kira RM8 juta itu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran sedia ada serta mengurangkan risiko banjir di kawasan Kuala Nerus yang pesat membangun.

Menurutnya, penambahbaikan sistem saliran bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir dan impaknya terhadap penduduk serta harta benda, malah menyokong pembangunan kawasan kediaman, perindustrian dan komersial.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan kawasan yang pesat membangun mempunyai sistem saliran lebih berkesan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek berkenaan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada 15 Oktober 2026 dalam satu majlis di Putrajaya, bersama Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu yang bernilai kira-kira RM138 juta.

Kedua-dua projek milik JPS Malaysia di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu dilaksanakan oleh JPS Negeri Terengganu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur pengurusan air dan mengurangkan risiko bencana.

Sementara itu, Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu berjaya disiapkan pada 1 September 2026, iaitu 50 hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak pada 21 Oktober 2026.

Osman berkata, projek berkenaan bertujuan meningkatkan kestabilan muara, menambah baik alur pelayaran serta mengurangkan risiko hakisan dan banjir di kawasan sekitar.

Skop pelaksanaannya merangkumi pembinaan dua benteng pemecah ombak di bahagian utara dan selatan, masing-masing sepanjang kira-kira 640 meter dan 585 meter, selain kerja penambahan pasir pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer.

Projek itu turut melibatkan pembinaan dua struktur training wall sepanjang kira-kira 160 meter setiap satu serta dua struktur perlindungan tebing (revetment), masing-masing sepanjang kira-kira 280 meter di bahagian utara dan 290 meter di bahagian selatan.

Menurutnya, penambahbaikan alur pelayaran dengan kedalaman hampir tiga meter membolehkan pergerakan bot nelayan dan bot pelancongan berjalan dengan lebih lancar dan selamat.

“Pembinaan benteng pemecah ombak turut membantu melindungi kawasan muara, manakala penambahbaikan aliran air sungai ke laut menyumbang kepada pengurangan risiko banjir serta hakisan tebing sungai.

“Secara keseluruhannya, projek ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan kecekapan fungsi muara, malah menyokong kelangsungan aktiviti perikanan dan pelancongan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Pelaksanaan kedua-dua projek itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pengurusan risiko banjir, melindungi kawasan pesisir dan menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan