• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kebudayaan Terengganu Dipentaskan Di Istana Budaya Julai Ini


Mohamed Nazri  mencuba membakar bekang sambil diperhatikan Ahmad Razif selepas merasmikan Pesta Pantai Beautiful Terengganu Red One 2017 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Seni kebudayaan Terengganu terus diiiktiraf apabila bakal dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Julai ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Terengganu sememangnya kaya dengan pelbagai seni budaya dan warisan, bagaimanapun masih ramai tidak mengetahui serta menghayatinya secara mendalam.

Katanya, berikutan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menganjurkan Malam Seni Budaya Terengganu di Istana Budaya bagi menghidupkan lagi kesenian yang ada tersebut.

"Mungkin kita akan adakan pada hujung minggu selama empat hari bermula Khamis. Sepanjang ianya berlangsung, pelbagai persembahan kebudayaan Terengganu akan diadakan.



"Dalam masa yang sama, kita juga akan bawakan sekali makanan-makanan tradisional Terengganu ke Istana Budaya untuk diperkenalkan kepada orang ramai," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Pantai Beautiful Terengganu Red One 2017 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Zulkifli Abu Bakar.



Program sembilan hari sejak 17 Mac lalu turut menyediakan beberapa pertandingan seperti pertandingan memancing, bola sepak pantai serta permainan tradisional Melayu.

Kejohanan Bola Sepak Pantai yang akan berlangsung 24 dan 25 Mac menawarkan hadiah lumayan dengan johan bakal membawa pulang RM13,000.

Manakala, hadiah yang ditawarkan untuk Cabaran Memancing Pantai Batu Burok pada 25 Mac pula ditambah nilai hadiah kepada juara daripada RM30,000 kepada RM40,000 berikutan sambutan yang memberangsangkan.

Tag: