lightning-solid
Berita :
Kecintaan Kepada Rasulullah Perlu Dizahirkan Melalui Amalan – Pemangku Raja Terengganu
Kecintaan Kepada Rasulullah Perlu Dizahirkan Melalui Amalan – Pemangku Raja Terengganu
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW perlu dizahirkan melalui penghayatan sunnah, akhlak mulia dan amalan yang dilakukan secara istiqamah, bukan sekadar melalui pengakuan semata-mata.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan ruang untuk umat Islam menghayati perjuangan dan keteladanan Rasulullah SAW sebagai penyeru kebenaran serta pembawa rahmat kepada seluruh alam.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW berdepan pelbagai cabaran, tentangan dan ujian dalam menyampaikan risalah Allah SWT, namun kekuatan iman dan keteguhan jiwa membolehkan Baginda melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna.

“Baginda memimpin umat dengan penuh kasih sayang, belas ihsan dan kebijaksanaan berlandaskan panduan wahyu Ilahi,” titah baginda.

Menurut baginda, sifat rahmah yang ditunjukkan Rasulullah SAW wajar dijadikan pedoman dalam membentuk masyarakat yang saling menyayangi, menghormati, amanah dan bertanggungjawab.

Baginda turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik contoh ikutan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Sehubungan itu, baginda menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan amalan kebajikan, melaksanakan kewajipan serta membudayakan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara berterusan.

“Baginda mengajar umatnya bahawa nilai sesuatu amalan bukan semata-mata pada banyaknya perbuatan, tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya,” titah baginda.
Baginda berharap sambutan Maulidur Rasul tahun ini dapat meningkatkan kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW serta diterjemahkan melalui penghayatan sunnah dan pembentukan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.

Baginda turut mendoakan agar umat Islam terus diberikan kekuatan untuk memperkukuh perpaduan, memelihara keamanan dan kesejahteraan negeri serta mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT.


Tag :

Artikel Berkaitan