• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Kecurian Diesel Subsidi Di Jeti LKIM Akan Ditangani - Dr Azman

Dr Azman dalam satu perjumpaan dengan nelayan baru-baru ini.

"Tidak sepatutnya berlaku dan amat mendukacitakan bila ada rungutan para nelayan bahawa minyak diesel subsidi milik mereka di jeti LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) pun boleh dicuri," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Menurutnya, dalam keadaan pihak berkuasa perlu memastikan bahawa hanya nelayan yang benar-benar ke laut menangkap ikan sahaja yang berhak menikmati kemudahan subsidi diesel itu, prosedur agihan juga perlu diteliti semula agar menjadi lebih mudah dan ringkas serta tidak menyulitkan nelayan.

"Nelayan kita sudah berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran ketika mencari rezeki di laut.

"Dari masalah muara cetek, pencerobohan nelayan pukat tunda dan pencerobohan nelayan asing ianya sudah cukup menjadikan nelayan berada dalam dilema kesukaran ketika mencari rezeki,"katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Dr Azman berkata, hasil tangkapan juga semakin berkurangan menyebabkan ramai nelayan yang naik ke darat dengan wajah muram tanpa hasil tangkapan.

Pada masa yang sama, kata beliau lagi, kecurian boleh berlaku apabila terdapat kelonggaran dari aspek kawalan keselamatan.

Tambahnya, kelalaian pasti akan membuka ruang untuk berlakunya kejadian jenayah.

"LKIM sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap operasi jeti-jeti perikanan di seluruh negara perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dikuatkuasakan sebelum ini kerana tentunya terdapat aspek kelemahan yang memerlukan tindakan pembetulan segera,"katanya.

Beliau juga akan memanggil pihak LKIM untuk mengadakan perbincangan segera agar isu kecurian minyak diesel ini boleh ditangani sebaik mungkin dan mengelakkan nelayan terus berdepan kerugian.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, kadar kecurian diesel subsidi berlaku hampir setiap minggu menyebabkan pemilik bot di jeti LKIM di Bandar Marang makin muak dengan kejadian berkenaan.

Kejadian kecurian itu membantutkan kegiatan untuk keluar ke laut berikutan tong minyak diesel mereka dicuri.


Tag: