• 10 Mei 2021 | 28 Ramadhan 1442

Kedatangan Pelancong Luar Biasa

KUALA TERENGGANU, 27 Disember- “Waktu sekarang kita tidak boleh maklum lagi kerana masih di peringkat pengumpulan data dan sebagainya.

“Tapi jika dilihat secara kasar melalui kemasukan dan juga keadaan di bandar-bandar, hotel-hotel dan pantai peranginan kita memang penuh dengan kereta daripada luar dan ini jelas menunjukkan kita sekarang menerima jumlah pengunjung ke Terengganu secara luar biasa selepas rentas negeri dibenarkan,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Menurut beliau, selepas rentas negeri pertama dibenarkan bermula Jun hingga September lalu, Terengganu antara tiga negeri teratas menerima paling ramai jumlah pelancong berdasarkan purata penginapan bulanan di hotel-hotel.

“Kalau ikutkan maklumat Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu maklumkan hotel-hotel di bawah mereka menerima tempahan dan kunjungan sama seperti gelombang pertama sebelum ini.

“Berdasarkan tempahan hotel negeri ini yang mencapai lebih 90 peratus pada hujung minggu sama seperti selepas rentas negeri pertama dibenarkan pada Jun lalu, kita jangkakan Terengganu kekal antara tiga negeri yang menjadi destinasi pilihan utama pelancong,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas mengenai jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu selepas menyempurnakan majlis penutup Kalang Warisan Explore Ride anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Belia Pemanis bersama TAC Outdoor di Dataran Komuniti Pulau Manis Serada, semalam.

Jelas Huzairil, pengunjung ke negeri ini bukan sahaja menyemarakkan sektor pelancongan malah dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat khususnya peniaga dan penjaja kecil yang terjejas akibat COVID-19.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan kerjasama dari pelancong terutamanya dari zon merah agar dapat menjalani penilaian risiko di klinik kesihatan berhampiran sebaik tiba di negeri ini,” ujarnya.