MARANG, 21 Januari – Kehadiran pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) ke Program Medan Ilmu Pengkalan Berangan sempena Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung ke Pasar Pagi Pengkalan Berangan, sekali gus menghidupkan suasana pasar tersebut.
Program yang berlangsung pada pagi selasa itu mendapat sambutan luar jangka apabila orang ramai mengambil kesempatan hadir untuk mendengar tazkirah dhuha yang disampaikan oleh pendakwah yang dikenali sebagai Murabbi Sejuta Ummah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merakamkan penghargaan kepada Ustaz Azhar Idrus atas kesudian beliau mengisi slot Medan Ilmu di kawasan tersebut.
“Terima kasih Ustaz Azhar kerana sudi hadir mengisi slot Medan Ilmu Pengkalan Berangan hari ini. Kehadiran orang awam yang begitu ramai jelas menunjukkan program ilmu seperti ini mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya semalam.
Menurut beliau, kehadiran Ustaz Azhar Idrus bukan sahaja memberi manfaat dari sudut pengisian rohani, malah turut memberi kesan positif kepada peniaga-peniaga di pasar berkenaan.
“Hari ini ramai pengunjung hadir untuk mendengar tazkirah sempena Bulan Penghayatan Israk Mikraj dan ini pastinya menggembirakan peniaga-peniaga di sini,” katanya.
“Hari ini saya gembira sangat sebab dapat dengar kuliah dhuha daripada murabbi kita. Bukan senang pendakwah terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus untuk hadir mengisi slot Medan Ilmu pada hari selasa seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa, menyatakan sokongan terhadap penganjuran Medan Ilmu di lokasi awam seperti pasar kerana ia mampu mendekatkan program keilmuan dengan masyarakat.
“Medan Ilmu bukan hanya boleh diadakan di masjid, tetapi di mana-mana ruang yang sesuai. Usaha menjadikan pasar ini sebagai premis pelbagai fungsi amat wajar disokong,” katanya ketika merasmikan Program BPIM peringkat Daerah Marang.