• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kejayaan Ariffin Milik Penggiat Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 April - Kejayaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menggondol anugerah 'Malaysia Tourism Hero' 2020 baru-baru ini disifatkan sebagai kejayaan buat semua penggiat industri pelancongan di Terengganu.

Jelas Ariffin, anugerah tersebut bukan semata-mata hasil kerjanya seorang sebaliknya usaha dan kerjasama yang diberikan semua pihak.

"Terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas anugerah ini, kejayan ini bukan untuk saya seorang tetapi seluruh warga pelancongan dan jabatan pelancongan negeri (Tourism Terengganu) serta organisasi yang bersama-sama seperti Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan sebagainya.

"Tidak lupa juga kepada seluruh penggiat industri di Tasik Kenyir, pulau-pulau dan Kuala Terengganu dan daerah-daerah lain yang mana kita tahu pelancongan ini memberikan impak dan pulangan kepada rakyat secara langsung," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima anugerah berkenaan di Seri Pacific Hotel, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Ariffin terpilih bersama 17 pemenang lain menerima anugerah sempena Malaysia Tourism Gold Summit 2020 yang telah berlangsung secara maya September lalu.

Acara berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato' Dr. Ammar Abd Ghapar.

Ariffin sewaktu mengulas kejayaan itu menyatakan, dirinya yakin dengan usahasama semua pihak, industri pelancongan di Terengganu akan dapat bertahan meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

"Saya yakin kita akan bertahan dan akan mencapai kegemilangan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas negeri nanti. Harapan saya, ketika rentas negeri dibenarkan dan kita telah bersedia," katanya.